Kalau kiranya aku dapat melihat catatan malaikat Raqib dan Atid, pasti catatan di sebelah kiriku semakin hari semakin banyak.

Banyak dosa telah aku himpunkan, namun satu perkataan taubat pun tidak aku pohon daripada-Nya. Mungkin kerana keseronokan hidup yang aku alami sekarang dan juga kepuasan diri yang aku idam-idamkan selama ini. Namun, sebenarnya, rasa puas itu hanya terpamer di riak wajah sahaja kerana, saban hari aku mula lalai dengan hidupku, lalai dengan dunia yang menjanjikan keseronokan yang palsu. Dalam seminggu, hanya 1 atau 2 ceramah atau kuliah di masjid yang aku hadiri, itupun kalau aku teringin nak pergi. Nak menjaga amalan harian pula sangatlah susah. Aku mula menjauhkan diri dari melakukan solat dhuha, kemudian, bacaan mathuratku, tahajudku, istighfarku dan paling menyedihkanku ialah bacaan al-Quranku. Entah ke mana perginya.

Alhamdulillah, imej seorang muslim masih aku kekalkan kerana itu sudah sebati dalam diriku.Aku mula rasa bosan dengan cara hidupku yang begini. Saban hari aku merungut kerana banyak masa kosong yang tidak terisi. Padahal lambakan tugasan menantiku, sehinggalah pada suatu hari, aku terasa sangat sunyi dan rindu, rindu pelukan dan kasih sayang daripada Allah SWT, rindu pada nikmat-Nya, rahmat-Nya dan buat pertama kalinya aku rindu pada cara hidup Islam yang sebenar. Aku terasa terasing di bumi sendiri. Malam itu aku menangis sepenuh hati,

menangis kerana aku rasa akulah hamba Allah yang paling hina sekali, menangis memohon keampunan daripada Allah dan ketika itulah Allah memberikan hidayahNya.
No comments:
Post a Comment